3 Julai 2020 - 16:03
Iran Gesa PBB Dan ICRC Rungkai Misteri Penculikan Diplomatnya Di Lubnan

Iran menggesa PBB, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan badan antarabangsa yang lain untuk menyiasat kes penculikan empat orang diplomat Iran di Lubnan pada 40 tahun lepas sambil mengatakan bahawa kesemua mangsa telah ditahan di Israel.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Iran menggesa PBB, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan badan antarabangsa yang lain untuk menyiasat kes penculikan empat orang diplomat Iran di Lubnan pada 40 tahun lepas sambil mengatakan bahawa kesemua mangsa telah ditahan di Israel.

Dalam satu kenyataan pada hari Jumaat, Kementerian Luar Negeri Iran sekali lagi memuji kerjasama dan langkah yang diambil oleh pemerintah Lubnan untuk menentukan nasib empat diplomat tersebut.

Di dalam kenyataan yang sama, kementerian tersebut turut berkata bahawa PBB, ICRC dan badan antarabangsa yang lain perlu memenuhi kewajiban mereka dari segi perundangan dan kemanusiaan dalam sekaligus mencurahkan usaha terbaik mereka untuk merungkai isu ini secara telus.

Tehran juga mengulang seruannya terhadap ICRC untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Mencari Fakta untuk menyiasat nasib warga Iran yang hilang di Lubnan itu.

Pada 4 Julai 1982 -bersamaan tarikh Israel menceroboh Lubnan- , Ahmad Motevasselian, Seyyed Mohsen Mousavi, Taqi Rastegar Moqaddam dan Kazem Akhavan telah diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang menerima bantuan Israel di sebuah pos pemeriksaan di utara Lubnan.

Iran berkata bahawa para diplomat tersebut telah diculik oleh anggota kumpulan Phalange sebelum menyerahkan mereka kepada pihak rejim Zionis Israel.

Tel Aviv pula mendakwa bahawa para diplomat tersebut telah dibunuh sejurus selepas penculikan mereka oleh kumpulan militan yang sama. -Press TV